Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
JAGUH pecut Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh mahu mengulangi pencapaian memenangi siri perlumbaan Eropah seperti pernah diraih pada tahun lalu.
Pelumba berusia 33 tahun itu melakar sejarah muncul pelumba pertama dari Malaysia mengungguli Jelajah Eropah pada Grand Prix (GP) Velo Manavgat di Turki, Februari tahun lalu.
Mohd. Harrif berkata, semangatnya semakin membara untuk memulakan saingan musim 2022 dengan empat siri perlumbaan di Turki bakal disertainya bulan depan.
“Sejak memenangi perlumbaan itu tahun lalu, nama saya semakin dikenali selain pelumba-pelumba Eropah juga mula memberi perhatian kepada rakan-rakan sepasukan serta pasukan TSG.
“Seperti kebanyakan pelumba, saya inginkan kejayaan dan masih dahagakan kemenangan terutama di pentas Eropah walaupun cabaran tahun 2022 dirasakan lebih getir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Harrif berkata, antara kejohanan besar yang menanti pada sepanjang tahun ini ialah Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.
“Jadi siri perlumbaan bersama TSG adalah persediaan saya dan rakan-rakan sepasukan sekiranya terpilih mewakili negara untuk temasya sukan terbabit,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Harrif yakin dua pelumba import baharu, Jamal Hibatullah dan Anatolii Budiak mampu menjadi pengganti Artem Ovechkin dan Carlos Quintero dalam pasukan TSG.
Katanya, kualiti dimiliki pelumba kelahiran Indonesia dan Ukraine itu setanding dengan dua bekas jaguh mendaki TSG berkenaan selepas melihat kayuhan mereka dalam siri perlumbaan tahun lalu.
“Ditambah dengan jentera baharu yang semakin canggih, saya lihat kami tiada masalah untuk mendapat keserasian dengan segera,” jelasnya.
TSG akan memulakan saingan 2022 di Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi pada 28 Januari dan 1 Februari disusuli empat perlumbaan di Turki bermula 5 hingga 20 Februari.