BAITULMUQADDIS – Dua pegawai tentera Israel terbunuh selepas terlibat dalam satu insiden tembakan ketika mereka melakukan rondaan pada waktu malam, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF), kejadian berlaku di Lembah Jordan, Tebing Barat.
Dua pegawai tentera daripada unit elit Egoz itu diarah melakukan rondaan sekitar jam 5 pagi (waktu tempatan) di pangkalan Nabi Mussa, utara Laut Mati.
Mejar Ofek Aharon, 28, dan Mejar Itamar Elharar, 26, ternampak seseorang yang mencurigakan ketika rondaan tetapi dia merupakan pegawai tentera lain.
Mereka menghampiri pegawai berkenaan yang melepaskan tembakan setelah menyangka dia diserang. Kedua-duanya maut dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Dua pegawai tersebut maut selepas kesilapan pengecaman identiti yang menyebabkan tembakan dilepaskan,’’ jelas IDF dalam satu kenyataan.
Insiden dikatakan berlaku ketika pasukan tentera berjaga-jaga selepas berlakunya kes kecurian peralatan tentera dari pangkalan itu pada malam sebelumnya.
Kedua-dua askar tersebut dikebumikan semalam di tanah perkuburan tentera Gan Yavne dan Kiryat Malachi manakala siasatan sedang dijalankan. – Agensi