LONDON – Antonio Rudiger menoktahkan misi Chelsea untuk layak ke final Piala Liga Inggeris (EFL) selepas memastikan kemenangan agregat 3-0 ke atas Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Dalam aksi timbal balik itu, Rudiger menjaringkan gol tunggal buat The Blues untuk memastikan kemenangan 1-0 sekali gus mengesahkan kemaraan mereka selepas terdahulu menang 2-0 pada separuh akhir pertama di Stamford Bridge minggu lalu.
Sebelum perlawanan, sebahagian penyokong Spurs begitu lantang menyuarakan keyakinan kelab mereka mampu mengubah keputusan aksi pertama dan mengulangi pencapaian 20 tahun lalu ketika menewaskan Chelsea 5-1 di separuh akhir EFL pada edisi 2002.
Bagaimanapun, perhitungan kali ini lebih memihak kepada Chelsea yang berada dalam prestasi terbaik di bawah bimbingan Thomas Tuchel berbanding skuad 2002 yang ketika itu dikendalikan oleh Claudio Ranieri.
Keputusan itu menggambarkan kesukaran dihadapi Spurs yang turut dinafikan dua sepakan penalti oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) selain jaringan Harry Kane dibatalkan kerana dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
“Kami gembira dengan keputusan ini. Kami adalah pasukan yang lebih baik dalam 45 minit separuh masa pertama.
“Namun, ada ketikanya kami juga hilang tumpuan terutama pada 15 minit terakhir babak pertama dan kedua. Disebabkan kelekaan itu, kami hampir dihukum pihak lawan,” kata Tuchel.
Skuad bimbingan Tuchel bakal berdepan tugas lebih sukar apabila bertemu pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, namun pengurus dari Jerman itu kekal positif dan percaya mereka mampu membawa pulang tiga mata dari Etihad pada Sabtu ini. – AGENSI