fbpx

Aset polis lama untuk hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMZAH Zainudin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anggota polis ketika lawatan dan meninjauan keadaan banjir di Segamat, Johor.

SEGAMAT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui banyak aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk helikopter dan bot perlu diganti terutama bagi menghadapi bencana banjir yang berlaku setiap tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu disedari ketika pasukan beruniform berkenaan turun melakukan operasi membantu sepanjang bencana itu.

Katanya, situasi tersebut memberi pengajaran kepada pihaknya untuk membuat perolehan baharu apatah lagi helikopter PDRM sendiri telah berusia 25 tahun yang tidak dilengkapi teknologi terkini.

“Aset lama seperti helikopter sebagai contoh adalah aset yang kita rasa bahaya bila ada ribut petir dan hujan lebat kerana ia tidak mempunyai kelengkapan yang boleh bersedia dalam keadaan banjir atau bencana seperti ini.

“Banyak aset PDRM bila dalam keadaan nak membantu ini baru kita sedar. Contohnya bot yang kita guna selama ini telah lama kita perolehi.

“Jadi, saya ada berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha kementerian untuk kita mencari bot yang lebih sesuai dalam keadaan banjir pada masa akan datang,” katanya selepas meninjau keadaan banjir di daerah ini.

Hamzah turut melawat Galeri Darurat Bukit Kepong di Pagoh, Muar sebelum mendengar sesi taklimat berkaitan keadaan terkini bencana itu di Segamat yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Segamat, Superintenden Bahrin Noh.

Sementara itu, Hamzah mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk membaik pulih Galeri Darurat Bukit Kepong yang dinaiki air sehingga paras 2.5 meter dalam bencana banjir baru-baru ini.

“Atas sifat prihatin KDN, saya telah bersetuju memberikan bantuan kewangan untuk baik pulih kawasan galeri bersejarah tersebut meskipun semua artifak dapat diselamatkan.

“Walaupun kita sudah reka bentuk galeri tersebut lebih tinggi selepas mengambil kira bencana besar pada tahun 2011 lalu, namun kita perlu melihat keperluan menghadapi bencana ini pada masa akan datang,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI