Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
PASUKAN berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM9.3 juta bagi menghadapi perlumbaan musim ini.
Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tajaan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan itu merupakan terbesar diterima dalam sejarah TSG sejak sedekad lalu.
Beliau berkata, selain tajaan daripada 18 penaja termasuk kerajaan negeri Terengganu, pasukan berbasikal bertaraf benua itu turut menjalin hubungan strategik bersama syarikat penerbangan, Turkish Airlines.
“Penjenamaan semula TSG juga didorong tajaan daripada syarikat pengeluar basikal antarabangsa berpangkalan di Indonesia, Polygon, sebagai penaja utama.
“Tahun ini, misi TSG adalah untuk mengekalkan kedudukan terbaik Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selain tiga pasukan benua terbaik dalam siri Jelajah Dunia,” katanya di Kuala Terengganu.
Terdahulu beliau ditemui selepas melancar dan memperkenalkan pasukan TSG yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd. Izmuddin Che Ku Mahmood.
Sementara itu, Che Ku Mohd. Izmuddin berkata, lapan pelumba tempatan menggalas cabaran TSG diketuai Mohd. Zamri dan Harrif Saleh, Shahrul Mat Amin, Amirull Fakhruddin Mazuki, Afiq Huznie Othman, Irwandie Lakasek, Wan Abdul Rahman Hamdan serta Nur Aiman Mohd. Zariff.
Tambahnya, turut memperkuatkan TSG adalah Metkel Eyob (Eritrea), Youcef Reguigui (Algeria), Jeroen Meijers (Belanda), Jambaljamts Sainbayar (Mongolia), Goh Choon Huat (Singapura), Jamal Hibatullah (Indonesia) dan Anatolii Budiak (Ukraine).
“Pelumba kelahiran Indonesia dan Ukraine tersebut adalah muka baharu TSG bagi menggantikan Martem Ovechkin yang telah digugurkan.
“Panel kejurulatihan diketuai Jeremy Hunt telah menilai prestasi dua pelumba tersebut dan kita yakin mereka boleh membantu pasukan terutama melibatkan perlumbaan di zon pendakian,” katanya.
Che Ku Mohd. Izmuddin berkata, kejohanan berstatus 2.2 UCI, Jelajah Sharjah di Emiriyah Arab Bersatu menjadi perlumbaan pertama disertai TSG bermula 28 Januari ini.