DIAMBIL sempena nama jalan di Bangkok, Thailand, restoran Sukhumvit cukup popular dalam kalangan penggemar masakan Thai. Setakat ini, restoran itu ada tiga cawangan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah.
Restoran itu memulakan operasi pada 2007 di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan kini melebarkan sayapnya ke dua lagi lokasi iaitu di Petaling Jaya dan Wangsa Maju dengan mengetengahkan resipi Thailand autentik.
Menurut salah seorang pemiliknya, Yusmadi Osman, idea untuk membuka restoran Sukhumvit tercetus ketika dia ke Thailand atas urusan perniagaan dan sering berkunjung di Jalan Sukhumvit yang meriah dengan kedai makan.
“Pada ketika itu, Kampung Baru ada banyak kedai makan tepi jalan, lalu saya dan abang mengambil keputusan untuk membuka restoran menyajikan menu dari Thailand.
“Apatah lagi, sejak kecil saya dan abang telah didedahkan dengan perusahaan kedai makan.
“Ini memandangkan ibu merupakan seorang pengusaha kedai makan sehingga minat tersebut diwariskan kepada kami,” cerita anak bongsu daripada dua beradik itu.
Jelasnya yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan, restoran itu menawarkan tujuh pilihan tomyam asli dari Thailand iaitu tomyam putih, nakon, poktac seafood, sab, som dan santan seafood.
Justeru, premis itu menampilkan keunikan tersendiri dengan aneka pilihan tomyam dan seleksi menu lain dari negara Gajah Putih itu hingga mampu memikat selera sesiapa sahaja.
“Selain tomyam, kami juga mempunyai menu signatur lain seperti homok ayam atau makanan laut, telur dadar raja yang merupakan gabungan telur bistik dan daging cincang.
“Selain itu, kami juga popular dengan hidangan pelbagai sup, singgang, siakap kukus limau dan pilihan set makanan laut shellout,” tutur bapa kepada empat cahaya mata itu.
Mengulas lanjut mengenai shellout itu, Yusmadi berkata, pihaknya mula memperkenalkan menu tersebut kira-kira dua tahun lalu dan tidak menyangka menerima sambutan sangat baik daripada pelanggan.
Pelanggan boleh memilih tiga jenis masakan untuk shellout iaitu Thai pedas, Thai kari mentega dan sos manis, yang mana set hidangan itu dijual bermula RM38 hingga RM100.
“Kami juga menawarkan set untuk menu lain yang sering menjadi pilihan keluarga kerana harga lebih berpatutan dan dapat merasa pelbagai makanan.
“Kami tawarkan lima pilihan set yang boleh dinikmati tiga hingga 10 orang pada harga bermula RM69,” ujarnya sambil memberitahu, terdapat lebih 100 hidangan disediakan di situ.
Bagi hidangan pencuci mulut, pelanggan boleh mencuba pulut mangga, somtam betik atau mangga, keropok lekor, lok chin, cendol, rojak buah dan pulut ayam.
Tambah Yusmadi, cawangan restoran di lokasi Kampung Baru dan Petaling Jaya mengetengahkan kosep hidangan signatur sama iaitu shellout serta tomyam.
Di Wangsa Maju, pihaknya mengetengahkan keunikan aneka kerabu atau dikenali raja kerabu, di samping hidangan popular Thailand lain.