fbpx

‘Tak tertekan, bukan saya yang mengandung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid menyatakan dia langsung tidak tertekan apabila diasak netizen berhubung menambah anak.

PETALING JAYA – “Saya tak tertekan langsung sebab bukan saya yang mengandung.”

Demikian jawapan spontan pelakon Farid Kamil apabila diasak pertanyaan tentang urusan pertambahan zuriat bertitik tolak daripada perkongsian status panjang lebar isterinya dalam Instagram baru-baru ini.

Kata Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 40, dia bersyukur dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 9, dan Nur Aurora, 6, yang membesar dengan sempurna.

“Tekanan itu mungkin datang kepada DD (isteri) tapi saya rasa sebentar sahaja. Saya bersyukur dikurniakan sepasang zuriat yang menakjubkan iaitu Muhammad dan Aurora.

“Fasa melihat mereka membesar dan hidup cara sebegitu. Maksudnya, gaya hidup ikut kehendak kita dan mereka berjaya melaksanakan tugas sebagai anak dah cukup bahagiakan saya dan isteri.

“Bersyukur kepada Allah sekarang dah ada satu jenis Farid Kami versi perempuan dan satu jenis DD versi lelaki,” katanya.

Farid ditemui Kosmo! Online pada majlis pelancaran filem Telaga Suriram di Restoran The Majapahit, Mont Kiara, Damansara kelmarin.

Ujarnya, menjadi satu kelaziman dalam budaya masyarakat tempatan mengharapkan sesuatu yang lebih terutama dalam kehidupan golongan selebriti.

“Biasalah orang bila tengok kita gembira atau bahagia sikit, minta tambah (anak) lagi apa semua kan tapi macam saya cakap, saya sikit pun tak tertekan,” katanya.

Terdahulu, Diana meluahkan rasa hati menerusi Instagram apabila ramai dalam kalangan peminat yang mendesak dia dan Farid untuk menambah cahaya mata memandangkan dua anaknya sudah semakin membesar.

Dalam pada itu, mengulas tentang kegusaran dirinya menjalani penggambaran pada ketika penularan Covid-19 masih belum terkawal, jawab Farid: “Ambillah dos penggalak, jaga penjarakan sosial dan pakai pelitup muka.

“Takut memang takut tapi kalau tak pergi shooting, samalah macam Perintah Kawalan Pergerakam sebelum ini. Tiada duit, macam mana nak hidup,” ujarnya lagi.

Farid bergandingan dengan tiga pelakon hebat tanah air iaitu Maya Karin, Nabila Huda dan Scha Alyahya dalam filem Telaga Suriram arahan sutradara, Osman Ali yang memulakan penggambaran bulan ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI