JOHOR BAHRU – Bekas pemain Selangor, Syahmi Safari mengakui tidak mampu menahan godaan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang terbesar di Malaysia itu.
Berita mengenai perpindahan pemain itu diumumkan menerusi sebuah video yang dikongsikan di Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, sebentar tadi.
Menerusi tayangan video berdurasi satu minit itu, pemain bek kanan itu menyatakan bersedia untuk menyahut cabaran baharu bersama Harimau Selatan untuk mencapai kejayaan sebagai pemain bola sepak.
“Terdapat hanya satu destinasi dalam bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim dan saya kini berada di sini.
“Saya tidak boleh mengatakan tidak kepada kelab terbesar di Malaysia. Ini adalah cabaran, cabaran untuk saya melangkah ke depan dan mencapai kejayaan sebagai pemain bola sepak,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Dalam video tersebut, kelihatan Syahmi menaiki limosin mewah memasuki Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan kehadirannya disambut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.
Anak kelahiran Kuala Selangor itu adalah pemain pertama yang ditandatangani JDT sebagai persediaan untuk memperkuat jentera pasukan menghadapi saingan Liga Super musim 2022. -K! ONLINE