KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan sindiket penipuan menjual makanan dalam talian sempena Tahun Baru Cina sehingga menyebabkan kerugian bernilai RM51,400.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima empat laporan berkaitan penipuan berkenaan setakat ini.
“Polis telah menerima empat laporan pada 9 hingga 12 Januari yang mana kesemua mangsa menempah kuih secara dalam talian dengan seorang suspek tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek kemudian memberikan satu pautan laman sesawang untuk pembayaran duit pendahuluan meminta mangsa mengisi semua maklumat perbankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kesemua mangsa mula menyedari penipuan sindiket tersebut apabila mengesan transaksi pemindahan duit dari akaun peribadi ke dalam akaun suspek.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan iklan bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan itu,” tegasnya. – K! ONLINE