PUTRAJAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meramalkan industri komoditi itu mempunyai prospek masa depan cerah sepanjang tahun ini di sebalik ketidaktentuan global.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ia susulan jangkaan peningkatan pengeluaran produk minyak sawit susulan pelbagai faktor yang positif tahun ini.
“Kami jangka walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) mungkin berlegar sekitar RM3,000 per tan, ia dianggap stabil malah beri banyak kelebihan dari segi kompetitif,” katanya ketika menyampaikan ucap tama Seminar Semakan dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2022 dianjurkan bersama oleh MPOB di Hotel Marriott, di sini hari ini.
Sepanjang tahun lalu, harga purata CPO mencatatkan sejarah apabila merekodkan RM4,407 per tan iaitu peningkatan 64.1 peratus berbanding tahun sebelumnya hanya RM2,685 per tan.
Malahan, ia pernah mencecah paras tertinggi iaitu RM5,429 per tan pada 19 November 2021 manakala purata harga sepanjang bulan itu juga amat tinggi dengan catatan RM5,341 per tan.
Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, antara faktor yang bakal mempengaruhi kestabilan harga CPO tahun in ialah peningkatan pengeluaran produk minyak sawit domestik dan global.
“Kita juga menjangkakan akan berlaku kemerosotan harga minyak sayur utama ekoran proses pemulihan stok dan produksi di kebanyakan negara pengeluar terbesar di dunia, jelasnya.
Justeru ujar beliau, dengan mengambil kira pengalaman Malaysia telah mengharungi dua tahun cabaran pandemik Covid-19, industri minyak sawit tempatan bakal mencatat lantunan tinggi. – K! ONLINE