PETALING JAYA – Banjir besar yang melanda Hulu Langat telah menyebabkan Munawwareen Holdings Sdn. Bhd. (Munawwareen) melancarkan program Munawwareen Prihatin.
Pengasas syarikat itu, Datin Aliza Abu Bakar berkata, program tersebut ditumpukan di kawasan pedalaman Kampung Paya Lebar, Sungai Lui.
Menurut beliau, syarikat telah menyerahkan 30 unit lampu solar buat mangsa banjir untuk menerangi kawasan yang rosak teruk akibat tragedi tersebut.
Selain itu, pihaknya turut menyerahkan sumbangan seperti telekung abaya, sejadah dan 23 barangan keperluan asas lain seperti dapur, tabung gas memasak, peralatan mencuci rumah, pinggan mangkuk, tuala, tikar dan khemah.
“Kami berulang alik sebanyak tiga kali ke Hulu Langat untuk membuat rondaan dan tinjauan sendiri serta bertanya kepada ketua kampung mengenai barangan yang masih diperlukan penduduk di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penyerahan lampu solar, barangan keperluan dan juga basikal elektronik (E-Bike) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kampung tersebut baru-baru ini.
Mengulas mengenai E-Bike, Aliza menjelaskan, ciri-ciri basikal elektronik yang mampu bergerak dalam apa juga bentuk muka bumi itu akan membantu PDRM membuat rondaan di kawasan kampung yang terjejas banjir.
“Masih banyak kawasan masih belum boleh diakses dengan baik oleh mana-mana kenderaan, jadi E-Bike akan memudahkan urusan pemantauan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.