PETALING JAYA – Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan kembali beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi dos penggalak AstraZeneca (AZ) bermula 15 Januari ini sehingga 15 Mac depan.
Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab, berkata pembukaan semula itu dibuat mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin dos ketiga selaras dengan visi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Waktu operasi PPV Mega itu akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 9 malam sepanjang dua bulan itu. Sebanyak 9,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan di sini untuk orang ramai setiap hari.
“Terdapat tiga penganjur penjagaan kesihatan (HCO) yang terlibat dalam program vaksinasi mega sini iaitu BookDoc, BP Healthcare dan U.N.I Klinik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemberian dos penggalak AstraZeneca itu hanya akan diberikan kepada mereka yang menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja kerana pemberian secara walk-in tidak lagi dibenarkan.
“Penerima vaksin dinasihatkan membawa pen sendiri untuk mengisi borang kebenaran sebagai usaha bersama untuk meminimumkan sentuhan fizikal. Laluan Khas turut disediakan di PPV WTCKL untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.
“Kita juga menyediakan ‘Calm Room’ untuk penghidap Gangguan Spektrum Autisme, Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder) dan Serangan Panik (Panic Attack) serta bilik perubatan khas untuk sebarang kes kecemasan di PPV Mega WTCKL,” jelasnya.
Kata Fauzy, orang ramai yang mempunyai sebarang isu juga boleh terus berhubung dengan petugas di kaunter Helpdesk yang disediakan. – K!ONLINE