fbpx

Nasi kandar Pulau Pinang bikin kecur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

BARU-BARU ini laman web antarabangsa, International Li­ving meletakkan Pulau Pinang di tempat ketiga selepas Malta dan Mallorca, Sepanyol dalam senarai 15 pulau terbaik dunia untuk bersara.

Selain itu, portal CNN Travel menyenaraikan negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara itu dalam senarai 22 destinasi terbaik untuk melancong pada 2022. Ia menjadi satu-satunya wakil dari negara ASEAN yang tersenarai.

Pada Jun lalu, media berpe­ngaruh India, Times of India turut memilih bandar raya itu sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terbaik di Asia.

Keunikan negeri itu terutamanya bandar raya George Town bukan hanya menjadi perhatian di mata dunia, bahkan menjadi sebutan dalam kalangan rakyat sebagai lokasi percutian pilihan dalam negara.

Buktinya, semenjak kerajaan membenarkan rentas negeri bermula Oktober lalu ekoran pandemik Covid-19 dan musim cuti persekolahan, negeri ini sesak dengan kehadiran pelancong.

Antara tempat yang menjadi pilihan termasuklah di pusat bandar raya yang menawarkan pelbagai tarikan serta kawasan peranginan di Batu Ferringhi dan Bukit Bendera.

Pelancong dari seluruh pelosok tanah air sanggup beratur panjang semata-mata mahu menikmati semangkuk cendol, secawan air sarbat (air sirap dengan campuran pelbagai bahan penyejuk badan) atau sepinggan nasi kandar popular.

Ada dalam kalangan mereka tidak kisah berpanas berjam-jam semata-mata tidak mahu melepaskan peluang merasa sendiri menu-menu yang tular di media sosial.

Selain itu, tarikan aktiviti eks­trem seperti di taman tema Escape atau meniti laluan kaca di pada ketinggian 65 dan 68 tingkat di luar bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di taman tema The Top turut diserbu pelancong.

Kerajaan Pulau Pinang dilihat berjaya menjenamakan sektor pelancongan negeri itu apabila ada pelancong datang semata-mata untuk mengayuh basikal dan menghirup udara George Town.

Ada dalam kalangan pelancong memaklumkan mereka tertarik dengan pelbagai hidangan istimewa selepas trending di laman sosial seperti Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok.

Selain itu, sebahagian mereka terutamanya anak muda me­ngakui semata-mata untuk mengikut trend dan bagi memuat naik gambar ke laman sosial.

“Saya tengok di Facebook dan Tik­Tok mengenai banyak tarikan di Pulau Pinang. Jadi, saya juga mahu mencuba sendiri nasi kandar popular, rojak pasembur dan mee patta yang disebut-sebut.

“Ia mempunyai keunikan yang tersendiri. Cuma cukup lah saya beratur sekali, namun jika tidak ramai pelanggan saya akan kembali,” kata seorang pelancong, Nur Aishah Zakaria, 34, kepada Kosmo!.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, kempen Nikmati Pulau Pinang dilancarkan bagi memperkenalkan lokasi-lokasi menarik lain yang belum diterokai termasuklah di Seberang Perai.

“Mujurlah, masih ramai yang berminat untuk melawat Pulau Pinang walaupun pandemik Co­vid-19 membuatkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati untuk me­ngunjungi tempat-tempat sesak.

“Selain daripada menawarkan kemeriahan kehidupan kontemporari, Pulau Pinang juga mengekalkan daya tarikan sejarah,” katanya.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI