fbpx

Melaka United tidak boleh ‘larikan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STUART mendedahkan MFL memperuntukkan sejumlah 78,000 tiket untuk aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

MELAKA United kini hanya memiliki dua pilihan sama ada mencari penyelesaian berkaitan tunggakan gaji atau perlu berdepan hukuman tegas daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Melaka United perlu men­yerahkan resit pembayaran atau menghantar perjanjian hitam putih bersama dengan pemain kepada MFL dan jika gagal melakukannya, hukuman sekatan perpindahan pemain akan dikenakan.

Kelab itu juga berdepan tindakan pemotongan mata jika masih gagal melunaskan bayaran dalam tempoh 14 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, tidak timbul isu mendakwa Melaka United terlalu kebal kerana kelab itu pernah dikenakan hukuman ekoran kegagalan membayar gaji.

“Kalau Melaka United ‘anak emas’, saya tak fikir MFL dan FAM kenakan pemotongan mata. PFAM (Persatuan Pemain-pemain Profesional Malaysia) main peranan dan mereka mewakili ramai pemain.

“Saya yakin penglibatan PFAM akan selesaikan isu ini di peringkat awal tetapi kalau tidak boleh, ia akan diserahkan kepada MFL untuk tindakan berdasarkan bola sepak. MFL tidak akan beri ketetapan tanpa ada tandatangan persetujuan daripada pemain.

“Bukan sekatan perpindahan sahaja, (jika masih gagal buat bayaran selepas tempoh 14 hari), namun selepas 14 hari, pemotongan mata akan bermula,” katanya ketika Taklimat Kalendar Liga Malaysia 2022, semalam.

Selain Melaka United, Sarawak United juga berdepan hukuman sama sekiranya gagal melunaskan bayaran penuh kepada pemain dan pegawai pada 31 Januari ini.

Dalam isu sama membabitkan Sarawak United, Stuart mengesahkan 15 daripada 39 pemain dan pegawai terbabit sudah menerima bayaran penuh, malah kelab itu turut diberikan masa sehingga hujung bulan ini untuk melunaskan segala baki tunggakan.

“Untuk Sarawak United, mereka ada hutang kepada 39 pemain dan pegawai. Seramai 15 daripadanya sudah dibayar penuh, manakala bakinya sudah menandatangani perjanjian persetujuan bersama kecuali tiga individu lagi.

“Saya dan unit perlesenan kelab sedang berhubung rapat dengan PFAM untuk pastikan isu gaji ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI