JASIN – Melaka akan memasang siren amaran banjir di lebih 20 lokasi berisiko di seluruh negeri ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan semalam.
Jelasnya, pemasangan siren itu bagi membolehkan penduduk di kawasan terlibat bersedia menghadapi bencana tersebut, termasuk berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS).
“Dalam mesyuarat Exco semalam, kita bersetuju untuk siren kecemasan dipasang disemua kawasan berisiko banjir.
“Siren ini sebagai amaran kepada penduduk sekiranya berlaku banjir, supaya mereka dapat ‘alert’ lebih awal,” katanya pada sidang akhbar Seminar Bemban Maju Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kos pemasangan siren tersebut, beliau memberitahu perkara tersebut sedang diteliti dan akan diselaraskan oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta Unit Kerajaan Tempatan (UKT) negeri. – K! ONLINE