fbpx

Mangsa kebakaran Flat Sri Johor terima sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azan Scan (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Saritha.

KUALA LUMPUR – Nasib 11 keluarga di Flat Sri Johor, Cheras yang kehilangan rumah dalam kejadian kebakaran pada 20 Disember lalu telah mendapat perhatian D’Optometrist Visioncare Centre yang menyampaikan bantuan keperluan harian dan sumbangan makanan.

Sumbangan disampaikan oleh penyanyi, Azan Scan yang juga merupakan artis tajaan syarikat tersebut sempena peserta pilihan Gegar Vaganza (GV) musim kelapan di sini, hari ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Din berkata, sumbangan berkenaan adalah satu daripada tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin pihak kami kepada mangsa yang terlibat.

“Kami juga menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuklah perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa kebakaran melibatkan 11 unit rumah Flat Sri Johor yang terkesan.

“Setiap tahun kami memang aktif menjalankan bantuan dan misi kemanusian kepada masyarakat dan turut menjalankan kerjasama secara aktif bersama pihak Misi Bantuan Kasih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Syuhaimi Ab. Rahman, memaklumkan pihaknya berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran di Flat Sri Johor.

“Pihak kami sendiri menyediakan 11 kotak makanan dan barangan keperluan seperti perkakas mandian untuk diagihkan bersama kepada mangsa yang terlibat.

“UKM sendiri sentiasa turun padang membantu masyarakat dengan menghantar beberapa wakil dan pasukan terutamanya mereka yang terlibat dengan bencana seperti ini.

“Sebelum ini kami aktif dalam menyalurkan bantuan keperluan dan tenaga kepada mangsa-mangsa banjir yang berlaku di sekitar Selangor dan turut pergi ke negeri lain sekiranya masyarakat di sana memerlukan bantuan segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa kebakaran, Saritha Katharaee, 40, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu meringankan beban mereka.

“Kejadian kebakaran tersebut telah menyebabkan saya kehilangan tempat tinggal dan harta benda yang lain, 100 peratus barang di dalam rumah saya musnah, hanya nyawa sahaja yang tinggal.

“Ketika kejadian berlaku, saya bersama tiga orang ahli keluarga yang lain baru sahaja sampai ke kuil, kemudian jiran telefon dan beri tahu rumah saya terbakar termasuk beberapa unit yang lain,” katanya.

Jelasnya, selepas dimaklumkan tentang kejadian tersebut, dia hanya merisaukan keadaan bapanya yang juga merupakan pesakit strok tinggal seorang diri di rumah ketika itu.

“Saya terus minta bantuan jiran untuk selamat ayah saya, dan mereka memecahkan pintu rumah dan bantu keluarkan ayah dengan segera,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI