LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui beliau kini menaruh harapan tinggi untuk melihat Takumi Minamino berada dalam tahap terbaik bagi mengisi ketiadaan Mohamed Salah dan Sadio Mane.
Ini kerana The Reds bakal berdepan tugas mencabar apabila menanti kunjungan Arsenal untuk aksi separuh akhir pertama Piala Liga England (EFL) di Anfield awal pagi esok selepas jadual asal sebelum ini terpaksa ditangguhkan ekoran penularan Covid-19.
Justeru, Minamino, 26, perlu menjadi sandaran utama buat Liverpool yang terpaksa melupakan khidmat Salah serta Mane untuk tempoh sebulan kerana kedua-duanya sedang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika bersama Mesir dan Senegal.
Klopp tiada pilihan lain selain menagih sepenuh harapan kepada Minamino, Roberto Firmino dan Diogo Jota selepas seorang lagi penyerang, Divock Origi masih lagi dihimpit kecederaan.
“Dua pemain utama (Salah dan Mane) di jentera serangan tidak bersama pasukan. Namun, Minamino sudah kembali dan kehadirannya amat penting buat kami jika melihat kepada jumlah perlawanan yang bakal dihadapi.
“Ia sesuatu yang bagus, malah saya sendiri menyukai prestasinya (Minamino) ketika dimasukkan sebagai pemain gantian. Dia sebenarnya berada dalam situasi terbaik tetapi kecederaan yang dialami sedikit mengganggu prestasinya.
“Sekarang dia sudah pun kembali bersama pasukan dan kepulangannya hadir pada waktu yang amat tepat,” kata Klopp.
Bintang antarabangsa Jepun itu sudah merekodkan sembilan gol dalam 45 penampilan dengan dua per tiga daripada jaringannya dihasilkan dalam lima aksi EFL sebelum ini.
Saingan EFL dijangka memberi lebih banyak ruang buat Minamino membuktikan kemampuan sejak tiba daripada RB Salzburg dua tahun lalu selepas dia jarang mendapat peluang bermain di Liga Perdana Inggeris. – AGENSI