PETALING JAYA – Penyanyi legenda Bollywood, Lata Mangeshkar terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Breach Candy, Mumbai, selepas dijangkiti Covid-19 dan berdepan jangkitan kuman pada paru-paru sejak Sabtu lalu.
Memetik laporan portal The Indian Express dan ndtv.com, penyanyi berusia 92 tahun sebelumnya hanya mengalami gejala ringan namun kemudian dipantau rapi ekoran usianya yang sudah lanjut.
“Dia akan dipantau rapi oleh doktor yang bertugas di ICU.
“Dia masih berada di ICU, namun terdapat sedikit tindak balas dan peningkatan dalam kesihatannya untuk hari ini,” kata Dr. Pratit Samdani, petugas yang merawat Mangeshkar
Sementara itu, ahli keluarga Mangeshkar difahamkan sudah membenarkan dan memberi keizinan petugas perubatan untuk terus merawat dan memantau keadaannya di hospital.
“Sebagai ahli keluarga, kami mahu yang terbaik untuk beliau dan biarlah dia terus dirawat oleh pakar,” ujar salah seorang ahli keluarga Mangeshkar.
Lata Mangeshkar mula menyanyi seawal usia 13 tahun dan pernah merakamkan lebih 30,000 buah lagu dalam bahasa Hindi, Tamil, Malayalam dan Bengali.
Antara lagu popular dan hit yang menjadi siulan hingga ke hari ini antaranya Humko Humise Chura Lo, Lag Jaa Gale dan Bholi Si Surat. – K! ONLINE