fbpx

Kontraktor didakwa lagi dengan tiga pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asdi Ali didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tiga tuduhan memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam, tiga tahun lalu. - FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Johor Bahru, seorang kontraktor didakwa sekali lagi di Mahkamah Seksyen di sini atas tiga pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada penjawat awam tiga tahun lalu.

Tertuduh, Asdi Ali, 42, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Lelaki itu didakwa memberi rasuah berjumlah RM14,000 kepada seorang penolong jurutera berusia 44 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan kebenaran dan kelulusan tambahan bagi kerja-kerja pembaikan lapis kalis air di blok b dan c asrama perempuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor.

Suapan itu juga melibatkan kerja-kerja pembaikan kerosakan di kediaman kakitangan dan pegawai di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor dan kerja-kerja penyelenggaraan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Ipoh Garden dekat sini pada 6 dan 20 Disember 2019.

Asdi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI