PETALING JAYA – Tidak menghairankan ketika ini apabila ramai rakyat di Malaysia menuntut pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara one-off.
Ini kerana rata-rata rakyat negara ini memerlukan wang simpanan mereka itu bagi kelangsungan kehidupan mereka selepas dibadai masalah Covid-19 dan banjir besar baru-baru ini.
Bagi berkongsi status atau berita terkini daripada kerajaan yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan rakyat, satu komuniti dikenali KWSP Pengeluaran RM10,000 One-Off telah diwujudkan di Facebook.
Ternyata komuniti atau ‘group’ tersebut mendapat perhatian ramai apabila mencecah 428,000 pengikut sejak ia ditubuhkan tahun lalu.
Nampaknya, ramai yang sedang menunggu berita gembira dari pihak KWSP sendiri walaupun keputusan telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bahawa pengeluaran tersebut tidak akan berlaku.
Melihat kepada beberapa komen orang ramai di setiap posting dalam komuniti tersebut, ternyata mereka memerlukan pengeluaran KWSP secara one-off itu.
“Tak ada ke menteri atau siapa sahaja orang besar kerajaan dalam group ni, mereka faham tak apa yang kita perlu sekarang.
“Ramai yang susah, hilang kerja semua. Kalau pun sudah dapat kerja ada juga yang nak selesaikan hutang-hutang yang tertunggak sebelum ini, kenapa susah sangat nak faham,” jelas Zaibidi Semail.
“Dalam group ni, boleh la aku tahu status terkini pengeluaran KWSP. Macam dah tipis sangat peluang tu tapi aku yakin akan ada berita gembira selepas ini.
“Ini bukan soal politik mahupun kepentingan mana-mana parti, ini adalah luahan rakyat yang sedang susah,” jelas Zaid Abd. Rahman. -K! ONLINE