PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan langkah tahun 2022 dengan menggerakkan kempen Kita Demi Negara selaras aspirasi dan konsep Keluarga Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kempen dengan slogan Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab Bersama itu mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk saling bekerjasama dengan KDN dalam menjaga keamanan negara.
Beliau berkata, KDN adalah sebuah Kementerian yang diberi tanggungjawab untuk menjaga ketenteraman dan keamanan dalam negara.
“Bagaimanapun, kita tidak ingin masyarakat melihat KDN sebagai kementerian yang berperanan dalam sektor penguatkuasaan semata-mata. Fungsi KDN juga harus dilihat sebagai kementerian yang sentiasa berusaha untuk menyantuni masyakat.
“Justeru, KDN dan masyarakat harus bersama-sama memikul satu tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara selari dengan konsep Al-Daruriyat iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda,” katanya. – K! ONLINE