PETALING JAYA – Pelakon Ikmal Amry memilih Cailie yang membawa maksud kesayangan sebagai nama anak sulungnya yang dilahirkan pada 30 Disember lalu.
Menurut Ikmal atau nama sebenarnya, Mohd. Zulikmal Amry Ghazali, 28, dia memilih nama yang ringkas untuk anak perempuannya itu kerana namanya sendiri sudah agak panjang.
“Nama saya sendiri sudah panjang, jadi nama anak biarlah ringkas seperti nama isteri saya yang hanya mempunyai satu perkataan iaitu Najla,” ujar Ikmal yang ditemui pada majlis pelancaran drama Gempak Original Series, Ex Aku Pontianak baru-baru ini.
Jelas Ikmal, proses pencarian nama anak tidak begitu sukar kerana dia dan isteri bersama-sama membuat carian di internet.
Mahukan pangkal nama anak bermula dengan huruf C, mereka akhirnya menemui nama Cailie yang membawa erti kesayangan dalam bahasa Arab Urdu.
“Saya dan isteri terjumpa nama Cailie ketika sama-sama mencari nama yang sesuai sebelum kelahirannya. Bagi kami, nama Cailie itu paling unik dan kebetulan saya memang inginkan pangkal nama anak bermula dengan huruf C.
“Saya faham untuk letak nama anak perlu ada maksud yang baik. Jadi, kami membuat carian di internet tentang maksud nama tersebut dan menemui Cailie dalam bahasa Arab Urdu membawa erti kesayangan,” tutut Ikmal.
Kongsi Ikmal, sejak bergelar seorang bapa, kehidupan dan sikapnya telah berubah 360 darjah. Tidak hanya lebih sabar dan bersikap matang, rutin hariannya juga berubah.
“Sampai sekarang saya tidak percaya sudah menjadi seorang bapa. Sebelum ini bangun pagi isteri di sebelah, sekarang ada anak.
“Isteri juga tegur supaya tidak tidur terlalu lasak, jadi saya tidur tidak bergerak-gerak kerana bimbang terkena anak. Telefon pun saya sudah jarang sentuh.
“Bangun pagi sahaja terus tengok anak, dia mahu susu atau ditukar lampin. Saya boleh renung anak selama berjam-jam sebab muka dia sama seperti saya (ketawa). Sebenarnya, sendiri terkejut dengan perubahan diri sendiri kerana seorang anak. Anak saya Cailie mengubah saya menjadi seorang lelaki yang lebih baik,” kata Ikmal.
Ikmal dan isterinya, Najla Shamsul Kamar, 23, mendirikan rumah tangga pada 19 Disember 2020 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Dalam pada pada itu menyentuh tentang karier seni, Ikmal bakal muncul dengan drama bersiri terbaharu berjudul Ex Aku Pontianak lakonannya bersama Elizabeth Tan, Raysha Rizrose, dan Alicia Amin.
“Watak saya sebagai Malik dalam drama Ex Aku Pontianak agak berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Seorang kaki perempuan yang perasan kacak dan lucu.
“Sepanjang penggambaran semuanya berjalan dengan lancar kerana semua pelakon serasi dan memberi kerja yang profesional. Cuma saya begitu menjiwai watak Malik yang agak menjengkelkan sehingga terbawa ke rumah walaupun penggambaran telah berakhir sehingga ditegur isteri,” kata Ikmal.
Drama Ex Aku Pontianak akan mula disiarkan pada 19 Januari ini pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria (104). Penonton juga boleh menonton drama ini melalui portal Astro Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand. – K! ONLINE