fbpx

Berkelana 14km demi jual tauhu bergedel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Ah setia menunggu pelanggan untuk membeli tauhu bergedel yang dijualnya di Stesen LRT Taman Melati, Gombak semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pesakit strok terpaksa berkelana sejauh 14 kilometer setiap hari semata-mata hendak menjual tauhu bergedel bagi menambah pendapatan selepas dia tidak mampu lagi bekerja kerana faktor usia dan kesihatan.

Che Ah Ismail, 75, berkata, setiap pagi dia akan menaiki pe­ngangkutan awam dan berjalan kaki sambil membawa barang berniaga dari rumahnya melalui stesen transit aliran ringan (LRT) Abdullah Hukum ke stesen LRT Taman Melati di Gombak.

Katanya, dia menghidap strok sebelah kiri badannya sejak empat tahun lalu selain mata kanannya buta.

“Keadaan itu menyebabkan saya perlu menggunakan tongkat untuk berjalan. Selain itu, saya juga mempunyai ketumbuhan pada mata sebelah kanan ketika berusia 40 tahun yang menyebabkan ia buta.

“Doktor menasihatkan saya untuk melakukan pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun saya tiada wang selain me­rasakan pembedahan tersebut bukan satu keperluan,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, setiap hari dia akan keluar untuk mengambil antara 10 hingga 15 bungkus tauhu bergedel pada awal pagi sebelum berjalan kaki untuk menaiki LRT dari Stesen Abdullah Hukum ke Stesen Taman Melati.

Menurut Che Ah, dia terpaksa pergi jauh untuk berniaga kerana jualannya tidak laku di Stesen LRT Abdullah Hukum.

“Saya akan berniaga sehingga pukul 11 malam di Stesen Taman Melati. Jika tauhu tidak habis, saya akan sedekahkan kepada pemandu teksi di kawasan itu,” katanya.

Ujar Che Ah, dia selalunya akan menaiki LRT untuk pulang, namun jika tiada rezeki lebih, dia akan meminta jasa baik sesiapa yang ditemui untuk menghantarnya pulang atau mana-mana orang me­nempah untuknya kenderaan me­lalui aplikasi online.

Katanya, dia hidup berdua dengan anak lelaki berusia 40 tahun selepas kematian suaminya. Bagaimanapun, anaknya tidak mampu menanggungnya kerana menghidap kencing manis kronik.

Menurut Che Ah, dia me­nerima bantuan sebanyak RM500 sebulan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, namun masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Tambah warga emas itu, dia sudah tidak larat tetapi menggagahkan dirinya untuk berniaga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya bernombor 14180020094157.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI