KUALA LUMPUR – Tindakan tiga anggota polis disyaki melakukan pemerasan terhadap seorang ejen jualan kenderaan terbongkar apabila ditahan polis, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian pemerasan itu berlaku pada pukul 11.30 pagi di Persiaran Pandan Prima, Dataran Pandan Prima di sini pada Selasa lalu.
“Mangsa merupakan lelaki berusia 30 tahun bekerja sebagai agen jualan kenderaan ditahan ketika memandu oleh dua orang anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) lengkap beruniform polis.
“Suspek kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendakwa mangsa mempunyai kesalahan pemilikan dokumen, suspek seterusnya meminta sejumlah wang tunai untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Farouk, mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang secara tunai serta membuat pemindahan online kepada sebuah akaun bank milik seorang lelaki dan membuat laporan polis selepas kejadian.
“Hasil siasatan dijalankan membawa kepada penahanan tiga anggota polis berusia lingkungan 30-an serta 40-an dipercayai bertugas di Balai Polis Ampang pada pukul 2 petang semalam dan telah direman selama empat hari bermula hari ini.
“Usaha mengesan suspek yang masih bebas terutama pemilik akaun bank masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana menjalankan pemerasan,” ujarnya. – K! ONLINE