JOHOR BAHRU – Bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia dan juga pasukan bola sepak Johor FA, Shebby Singh disahkan meninggal dunia ketika sedang berbasikal di sekitar Sunway Iskandar, pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan perkara tersebut selepas dihubungi pemberita di sini.
“Ya, mangsa meninggal dunia ketika berbasikal di kawasan Bukit Sunway Nusajaya. Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah dia terbabas ketika sedang berbasikal.
“Kejadian tersebut juga tiada kaitan dengan sebarang insiden langgar lari.
“Kita tunggu laporan bedah siasat sama ada mangsa meninggal dunia sebab serangan jantung atau akibat kemalangan,”katanya ketika dihubungi pemberita, sebentar tadi.
Difahamkan, mayat mendiang akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dekat sini untuk bedah siasat.
Berita yang tular di media sosial mendakwa Shebby Singh atau nama sebenarnya Serbegeth Singh meninggal dunia kerana mengalami serangan jantung.
Mendiang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 1982 hingga 1991 dan telah beraksi pada sukan Asia di New Delhi pada 1982, sukan Asia di Seoul pada 1986 dan sukan Asia di Beijing 1990.
Selain itu, Shebby turut berjaya memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) Kuala Lumpur pada tahun 1989.
Mendiang yang berasal daripada Johor itu turut pernah menyarung jersi Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Beliau turut bergiat aktif sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa.-K! ONLINE