KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu menaik taraf Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara berperingkat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pembangunan menaik taraf pusat itu bergantung kepada kemudahan dan keupayaan kewangan.
“Pusat ini mempunyai 23 pelajar autisme, namun terdapat ramai ibu bapa masih menunggu untuk mendaftarkan anak mereka di sini.
“Ia mula beroperasi pada tahun lalu dan menjadi matlamat PDRM untuk menambah baik dan membangunkan lagi pusat itu bagi menampung lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar
“Kita menghargai sumbangan yang diberikan dan berharap dapat membantu meringankan beban kewangan dan pentadbiran yang dihadapi pengurusan pusat itu,” katanya selepas Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pulapol di sini hari ini.
Pada majlis itu, Yayasan Bank Rakyat telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk program Pendidikan Awal dan Kemahiran Pelajar Autisme.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya komited membantu masyarakat dalam meningkat tahap sosio ekonomi
melalui pendidikan.
“Kita berharap dengan bantuan yang diberikan ini dapat memberi semangat dan sedikit kegembiraan buat kanak-kanak autisme dalam menjalani kehidupan seharian serta belajar sesuatu yang baru.
“Kita juga berharap pelaksanaan program ini dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai serta memberi fokus intervensi terhadap peluang golongan autisme untuk mendapat pendidikan seperti kanak-kanak normal yang lain,” jelasnya. -K! ONLINE.