fbpx

[VIDEO] Polis lepaskan tembakan, dua individu diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis melepaskan beberapa das tembakan ke atas sebuah kereta Proton Wira ekoran tindakan pemandu kenderaan terbabit cuba merempuh pihak berkuasa dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens, semalam. -Foto: Ihsan PDRM-

KOTA KINABALU – Polis melepaskan beberapa das tembakan ke atas sebuah kereta Proton Wira ekoran tindakan pemandu kenderaan terbabit cuba merempuh pihak berkuasa dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek bersama dua lagi rakannya dipercayai tidak memiliki dokumen pengenalan diri cuba mengelak daripada ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian bermula apabila unit kereta peronda MPV menahan kereta berkenaan di Tanjung Aru selepas menerima maklumat sepasang suami isteri sedang bergaduh di dalam kereta terbabit.

“Anggota MPV bertugas kemudiannya mengarahkan semua individu terdiri empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu turun dari kenderaan.

“Seorang lelaki dan wanita mendakwa mereka adalah pasangan suami isteri memberikan MyKad untuk diperiksa. Manakala, dua lagi individu mendakwa tidak membawa MyKad dan seorang lagi iaitu pemandu memberitahu MyKad miliknya berada di tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi memaklumkan tiga daripada suspek termasuk wanita berkenaan bertindak masuk semula ke dalam kenderaan sebelum terus memecut laju meninggalkan dua rakannya termasuk suami kepada wanita terbabit.

Menurut beliau, anggota MPV terus mengejar kenderaan berkenaan namun sebaik sampai di Jalan Tun Fuad Stephens pemandu kenderaan bertindak berpatah balik secara berbahaya ekoran sesak dan hampir merempuh anggota polis.

“Keadaan itu mengakibatkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kenderaan suspek. Suspek akhirnya memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan terus melarikan diri bersama dua lagi rakannya,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, suspek wanita akhirnya berjaya ditahan di sebuah bilik penginapan di Sinsuran dan siasatan mendapati MyKad yang dibawa adalah milik orang lain.

“Dua lagi suspek masih sedang dikesan dikenali sebagai Ijam iaitu pemandu Proton Wira dan rakannya yang bernama Ali. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan tiga suspek yang ditahan juga akan dipohon reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI