KEADAAN cuaca yang tidak menentu bukanlah satu perkara baharu yang dihadapi semua orang.
Saban tahun terutamanya antara Disember hingga Januari, beberapa negeri di negara ini berhadapan dengan keadaan tersebut apabila menerima taburan hujan yang tinggi.
Malah hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah berisiko untuk mengalami banjir.
Dalam usaha membantu masyarakat agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca terkini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) membangunkan aplikasi myCuaca.
Aplikasi myCuaca dibangunkan pada Ogos 2014 menggunakan khidmat kepakaran METMalaysia dan syarikat teknologi maklumat tempatan.
Ia dilancarkan secara rasmi pada 23 Mac 2015 sempena Hari Meteorologi Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) METMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, biarpun telah lama dilancarkan, namun sebelum ini masyarakat agak kurang peka dengan aplikasi seperti itu.
Namun jelasnya, selepas kejadian banjir besar baru-baru ini, orang ramai mula memuat turun aplikasi berkenaan ke peranti pintar mereka.
“Sebelum ini, aplikasi ini hanya dimuat turun oleh 150,000 pengguna.
“Setelah kejadian hujan berterusan yang menyebabkan banjir, kami dapati, ia dimuat turun lebih 300,000
pengguna,” katanya.
Dengan adanya aplikasi itu, METMalaysia sebagai agensi Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) komited untuk menyokong usaha kerajaan melaksanakan inisiatif pemodenan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menggunakan alat komunikasi mudah alih.
Melalui aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan juga amaran terkini berkaitan cuaca.
“Pengguna juga boleh melihat sendiri ramalan cuaca untuk beberapa hari terkedepan di aplikasi tersebut.
“Selain itu, ia turut disertakan dengan radar meteorologi yang menunjukkan di kawasan mana bakal ditimpa hujan.
“Selain hujan, aplikasi itu juga menyampaikan maklumat bencana lain seperti gempa bumi dan juga tsunami,” jelasnya.
Menurut Dr. Mohd. Hisham lagi, aplikasi itu dibangunkan sebagai salah satu alternatif terkini untuk
menyampaikan maklumat kepada orang ramai secara lebih pantas dan telus.
Antara tujuan utama pembangunan aplikasi mudah alih myCuaca adalah untuk menyebarkan maklumat kritikal meliputi ramalan cuaca harian, maklumat dan amaran cuaca, kejadian gempa bumi dan tsunami.
Selaras dengan perkembangan teknologi aplikasi mudah alih, myCuaca telah dinaik taraf ke versi baharu dan mula diguna pakai pada Ogos 2017.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah menyediakan maklumat ramalan cuaca berdasarkan tetapan lokasi semasa telefon pengguna melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), paparan imej gema radar bagi ramalan cuaca tempoh tiga jam ke hadapan.
Selain itu, aplikasi itu turut disertakan dengan fungsi add to favorite bagi pilihan lokasi ramalan pengguna, menyediakan tetapan pilihan bahasa untuk paparan maklumat serta panduan langkah- langkah keselamatan yang perlu diambil semasa dan selepas berlaku gempa bumi.
Dalam pada itu, pada Ogos 2018, fungsi Push Notification menggunakan teknologi Firebase Cloud Messaging (FCM) telah ditambah pada aplikasi myCuaca.
Ini bagi menyediakan noti kasi amaran cuaca, gempa bumi dan tsunami kepada pengguna.
Tetapan untuk menerima amaran turut disediakan agar pengguna boleh memilih kategori amaran yang hendak diterima.
Pada September 2020, METMalaysia telah menambah baik aplikasi myCuaca dengan menggunakan data RaINs dalam paparan utama aplikasi tersebut.
Dalam hal ini, pengguna boleh mengetahui keadaan cuaca semasa pada paparan tersebut.
Maklumat ini tersedia dalam selang masa 30 minit untuk tempoh sehingga tiga jam dan dikemas kini setiap 10 minit.
Aplikasi myCuaca mewujudkan platform penyampaian maklumat kritikal yang efisien dan berkesan kepada orang awam.
Ia seiring dengan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan menggunakan perkembangan teknologi semasa telefon mudah alih.
Di samping itu, aplikasi berkenaan dapat membantu orang awam untuk mendapatkan maklumat cuaca yang tepat dan sahih daripada pihak kerajaan.
Ini sudah pasti dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.