SEREMBAN – Seorang Ketua Keselamatan sebuah syarikat kontraktor ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah RM2,000
Difahamkan, ia sebagai balasan supaya tindakan disiplin tidak dikenakan terhadap seorang Penyelia Keselamatan kerana kesalahan tidak hadir bertugas di tapak projek di Port Dickson dua tahun lalu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nur Haryatie Mohd. Saini mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Khas Reman di sini hari ini.
Nur Haryatie membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu bermula hari ini hingga 14 Januari depan.
Terdahulu, orang yang disiasat itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira pukul 10.20 pagi dengan diiringi pegawai SPRM dan memakai baju lokap berwarna jingga.
Menurut sumber, lelaki tersebut ditahan pada pukul 8.50 pagi semalam di rumahnya di Johor Bahru, Johor. Difahamkan, dia telah meminta dan menerima rasuah RM2,000 itu dan kesalahan dilakukan pada 29 Julai 2020.-K! ONLINE