PETALING JAYA – Tiga individu warga tempatan yang dikenali Geng Sky diberkas disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Dang Wangi dan Setapak semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 39 hingga 59 tahun selepas polis menerima laporan dari mangsa warga tempatan berusia 56 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek kembali bergiat aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah selepas semua suspek selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada Julai 2021 lepas.
“Serbuan dibuat susulan laporan seorang pengadu pada 25 Disember lepas yang memaklumkan rumahnya di kawasan Petaling Jaya, di sini dipecah masuk apabila mendapati dalam keadaan selerak dan pelbagai barangan peribadi telah hilang dengan anggaran kerugian berjumlah RM50,000.
“Modus operandi kumpulan ini menyasarkan kediaman yang tidak berpenghuni antara pukul 11 pagi hingga 3 petang ketika penghuni tiada di rumah.
“Salah seorang suspek akan menekan loceng rumah untuk memastikan penghuni tiada di rumah sebelum melakukan pecah rumah. Sasaran utama kumpulan ini adalah barang kemas dan kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.
Tambahnya, turut dirampas adalah peralatan pecah rumah, matawang asing, barangan kemas, surat pajak gadai, aksesori perhiasan diri, barangan elektronik dan sebuah kereta.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan telah disambung reman selama tiga hari sehingga 14 Disember untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan). – K! ONLINE