PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada bagi beberapa kawasan di negeri Sarawak.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca tidak menentu itu dijangka akan berterusan sehingga esok.
“Bagi amaran hujan berterusan tahap buruk, hujan lebat berterusan dijangka berlaku di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Tanjung Manis dan Daro) dan Kapit (Song).
“Manakala bagi amaran hujan berterusan tahap waspada, hujan berterusan dijangka berlaku di kawasan Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong) dan Bintulu (Tatau),” katanya.
Jelasnya, amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 millimeter (mm) dalam tempoh 6 jam.
Tambahnya, bagi amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesetengah kawasan. – K! ONLINE