KUALA LUMPUR – Pengeluar makanan dan perisa Ajinomoto (M) Bhd. (Syarikat Ajinomoto) menyertai senarai penderma sebagai usaha membantu mengekalkan rumah orang tua dan kanak-kanak berikutan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Syarikat Ajinomoto, Noriko Saito berkata, sebanyak RM20,000 akan diberikan kepada Persatuan Kebajikan Rainbow Bridge Malaysia untuk disalurkan ke 23 buah rumah di Lembah Klang.
“Sumbangan berkenaan merupakan projek amal pertama untuk tahun ini di bawah Penciptaan Nilai Bersama oleh Kumpulan Ajinomoto (ASV).
“Kami memahami rumah-rumah tersebut telah melalui saat sukar ketika pandemik Covid-19 dan kami berbesar hati dapat memainkan peranan membantu yang terjejas,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan di Rumah Titian Kaseh, di sini hari ini.
Menurutnya, antara rumah lain yang akan menerima bantuan adalah Rumah Kebajikan Wargamas Charis Shah Alam, Rumah Orang Tua AiYiDe, Persatuan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Lighthouse, Rumah Titian Kaseh, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Akal Tercacat dan House of Joy.
“Sumbangan kami pada hari ini kepada rumah-rumah tersebut bukanlah yang terakhir,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Rainbow Bridge, Mervin Mohan Appana berkata, sumbangan ini akan membantu program milik organisasi berkaitan makanan kepada rumah berkenaan.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk memastikan ketersediaan makanan dan khasiat yang mencukupi untuk penghuni rumah-rumah tersebut,” katanya. -K!ONLINE