fbpx

3 penjenayah baru selesai jalani hukuman ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tindakan tiga penjenayah yang baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) memecah masuk sebuah rumah di daerah ini mengundang padah selepas ketiga-tiga mereka ditahan.

Ketiga-tiga penjenayah warga tempatan yang berusia 39, 48 dan 59 tahun tersebut telah ditahan di sekitar daerah Dang Wangi dan Setapak pada 4 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya terlebih dahulu telah menerima satu laporan polis daripada mangsa yang berusia 56 tahun.

“Mangsa menyatakan pada 24 Disember tahun lalu kira-kira pukul 11 malam, rumahnya didapati berada dalam keadaan berselerak dipercayai akibat dipecah masuk.

“Pelbagai barangan berharga seperti barangan kemas, peralatan elektrik dan wang tunai telah dilarikan penjenayah. Anggaran kerugian sebanyak RM50,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah Petaling Jaya telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan.

“Semakan mendapati, ketiga-tiga suspek baru selesai menjalani hukuman tahanan di bawah POCA pada Julai tahun lalu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Suspek pertama berusia 39 tahun mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah sementara supek berusia 59 tahun mempunyai 23 rekod lampau manakala suspek terakhir berusia 48 tahun mempunyai 16 rekod lampau.

“Kita percaya kumpulan ini kembali aktif di daerah ini sejak 2 bulan lalu dengan menyasarkan kediaman tidak berpenghuni kerana keluar bekerja antara pukul 11 pagi hingga 3 petang.

“Salah seorang suspek ini akan menekan loceng rumah bagi memastikan tiada penghuni sebelum melakukan jenayah pecah rumah. Mereka akan menyasarkan barangan kemas dan kenderaan mewah,” jelasnya.

Katanya, hasil kegiatan jenayah mereka akan dijual di kedai pajak gadai sekitar Rawang dan Setapak.

“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang membeli barangan kemas daripada suspek dan merampas barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM21,000,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan pecah rumah dan curi. Kesemua suspek telah ditahan reman selama 10 hari untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI