LONDON – Sebuah zon larangan terbang akan dikuatkuasakan di ruang Istana Windsor dalam usaha untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kediaman Ratu Elizabeth II, lapor Daily Star kelmarin.
Pesawat dan dron akan dilarang daripada melintasi zon larangan tersebut melibatkan altitud 762 meter bermula 27 Januari ini.
Undang-undang sama juga melarang pesawat berada pada jarak 2.2 kilometer dari istana tersebut. Mana-mana pesawat yang melanggar arahan tersebut boleh dikenakan pendakwaan, demikian menurut akhbar The Sun.
Perkembangan itu berlaku selepas seorang penceroboh bersenjatakan senapang panah memasuki pekarangan Istana Windsor pada 25 Januari tahun lalu.
Ratu Elizabeth II, 95, meluangkan masa sejak dua tahun lalu dengan tinggal di apartmen peribadinya berikutan pandemik Covid-19.
Rancangan melaksanakan zon larangan terbang itu dirangka pada tahun lalu selepas monarki Britain tersebut mengadu tentang bunyi bising dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.
Bagaimana arahan mengenainya pada Oktober tahun lalu akan dikuatkuasakan lewat bulan ini selepas mendapat persetujuan Parlimen
Pesawat pejuang akan dikerah sekiranya terdapat pesawat mencerobohi zon tersebut dan gagal mematuhi amaran radio. Polis yang melindungi Istana Windsor juga akan diberikan lebih banyak kuasa untuk menyekat dron haram.
Dalam pada itu, Istana Buckingham kini mengalami pengubahsuaian secara besar-besaran, manakala Ratu Elizabeth II hanya melawat Istana Sandringham hanya dua kali. – Agensi