PETALING JAYA – Berang apabila alamat kediaman keluarganya ditularkan dalam media sosial, pelakon Niezam Zaini memberi amaran dan mengajak individu bertanggungjawab untuk tampil bersemuka dengannya bagi menyelesaikan sebarang masalah antara mereka.
Kata pelakon berusia 30 tahun itu, selama ini dia enggan ambil pusing dengan sebarang kata-kata negatif orang, namun tidak mampu menahan sabar apabila keluarga turut menjadi mangsa individu yang tidak dapat dipastikan motif perbuatan tersebut.
“Saya sudah lama sabar. Kalau nak usik saya tidak mengapa tetapi jangan usik keluarga saya. Nak aibkan saya pun tidak mengapa, saya tak kisah pun.
“Tapi yang awal viralkan sekarang itu alamat keluarga saya, gambar saya pun tak apa (ditularkan). Awak sedap kongsi sambil pejam mata, tapi saya, kalau pejam mata pun tetap kena kena hadap.
“Awak cari saya boleh ? Saya nak tanya motif awak buat macam itu? Sudah lama saya tahan. Alhamdulillah, urusan saya sudah selesai, awak relaks dulu,” katanya menerusi Insta Story seperti mengenali individu terbabit.
Sementara itu, dalam perkongsian berlainan pelakon filem Budak Pailang itu turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan kenalan yang memberikan kata-kata semangat kepadanya.
Dia juga meminta maaf apabila terlalu beremosi hingga mengeluarkan perkataan kasar dang menggunakan pengganti diri ‘lu’ (awak) dan ‘gua’ (saya) dalam video yang dimuat naik.
“Minta maaf semua. Teremo (emosi) sebab lama saya simpan, telan dan hadam. Tak boleh cakap, menggigil teruk geram. Jadi saya taip.
“Maafkan saya juga jika terkasar bahasa, bukan tujukan pada anda semua, saya tujukan kepada … Nanti kita bagi ‘teaser’ sikit ya (Jangan risau brader, saya ada bukti),” luahnya lagi.
Semalam, Niezam bersama seorang pengarah filem dan penolong pengarah didenda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan, Oktober lalu.
Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman itu terhadap Niezam, 30; Mohd. Latiff Zami, 50, dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd. Zaidi didenda sebanyak RM4,000 manakala Mohd. Latiff (RM3,800) dan Saiful Zaidrin (RM4,000).
Mahkamah turut memerintahkan Niezam menjalani pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun manakala Mohd. Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing selama tiga dan dua tahun. – K! ONLINE