fbpx

Sedia tambah kelas Tabika Kemas untuk M40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan untuk mempertimbangkan rayuan ibu bapa terutama di kawasan bandar untuk memasukkan anak mereka ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) termasuk menambah bilangan kelas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Tabika Kemas yang diwujudkan bukan sahaja melibatkan kawasan luar bandar, malah di kawasan bandar.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk melihat kembali permohonan kemasukan yang dibuat oleh ibu bapa.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 11,000 kelas Tabika Kemas di seluruh negara di kawasan perumahan dan kampung-kampung, cuma barangkali jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan.

“Setakat ini, bilangan kanak-kanak di dalam sebuah kelas adalah terhad kepada 25 murid, mungkin itu yang menjadi salah satu punca ada segelintir kanak-kanak yang tidak dapat menyertainya,” katanya ketika ditemui di Bangunan KPLB di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, pendaftaran Tabika Kemas tidak terhad kepada keluarga B40, sebaliknya turut dibenarkan kepada ibu bapa kumpulan M40.

Jelas Mahdzir, pihaknya akan menyemak semula permohonan atau rayuan yang dibuat ibu bapa secara keseluruhan sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

“Tiada masalah untuk golo­ngan M40 memohon untuk kemasukan anak mereka. Jika banyak permohonan diterima, kita mungkin akan membuka lebih banyak kelas,” ujar beliau.

Kosmo! pada 5 Januari lalu melaporkan mengenai rintihan ibu bapa daripada golongan M40 terutamanya yang tinggal di kawasan bandar yang mengharapkan agar kerajaan dapat menyediakan lebih banyak kelas prasekolah, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan bagi menampung keperluan anak mereka.

Rayuan itu diharap dapat dipertimbangkan pihak kerajaan memandangkan golongan tersebut terpaksa menanggung beban kewangan disebabkan tiada pilihan selain menghantar anak mereka ke tadika swasta dengan caj yuran mencecah RM6,000 setahun.

Ibu bapa berasa terhimpit apabila banyak premis pendidikan milik kerajaan termasuk kelas prasekolah, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan lebih menumpukan kepada anak-anak daripada golongan miskin dan B40 berbanding keluarga M40.

Untuk rekod, program Pendi­dikan Awal Kanak-kanak Kemas terbahagi kepada dua kategori iaitu taska untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun dan Tabika pula bagi kanak-kanak yang berusia 4 hingga 6 tahun.

Berita berkaitan:’Mohon tambah tadika milik kerajaan’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI