KELANTAN Warriors meneruskan aksi terbaik dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 selepas membenam cabaran Johor Tigris menerusi kemenangan mudah 21-16, 21-11 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Kemenangan kedua yang dilakar pasukan dari Pantai Timur itu membolehkan mereka menghuni tangga kedua liga dengan empat mata, mengekori rapat pendahulu saingan, ATM Guardians.
Kelantan dilihat menampilkan aksi yang lebih berbeza pada saingan musim ini selepas berjaya mendapatkan khidmat tekong berpengalaman dari Terengganu, Muhammad Zulkifli Abd. Razak.
Apit kanan Kelantan, Wan Naim Izani Wan Mohd. Noor bagaimanapun masih belum berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan kerana menganggap dia boleh bermain lebih baik, terutamanya dari segi balingan untuk melakukan servis.
“Secara jujur, saya masih tidak berpuas hati dengan permainan sendiri kerana balingan yang dibuat kepada Sobey (Zulkifli) masih belum baik dan tepat. Sebab itu kadang-kadang servis Sobey kurang menjadi.
“Oleh itu, saya fikir ia adalah salah satu kekurangan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya. Saya anggap kemenangan ini adalah rezeki untuk Kelantan,” katanya yang bertindak sebagai perejam pasukan.
Pada masa sama, Naim turut menjelaskan, dia hanya memiliki tempoh selama dua minggu untuk menjalani latihan bersama pasukan sebelum saingan STL musim baharu membuka tirainya Jumaat lalu.
“Setakat ini, saya baru menjalani latihan selama dua minggu bersama Sobey dan rakan sepasukan selepas datang ke Kuala Lumpur. Tugas saya adalah untuk melakukan balingan dan juga rejaman,” ujarnya.