fbpx

Merapatkan jurang kemiskinan haid dalam kalangan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMPEN 'Kebersihan Menstruasi Adalah Hak Wanita' telah dilancarkan pada November lalu.

KEMISKINAN haid bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh sebilangan wanita di negara ini.

Malah menerusi kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati 13.1 peratus kemiskinan yang melibatkan golongan remaja dan wanita adalah disebabkan ketidakmampuan untuk membeli tuala wanita.

Kebanyakan mereka yang berhadapan dengan masalah untuk membeli tuala wanita terdiri daripada golongan B40.

Menyedari akan permasalahan itu satu kempen ‘Kebersihan Menstruasi Adalah Hak Wanita’ telah dilancarkan pada November lalu.

Kempen yang akan diadakan sehingga hujung Januari ini adalah untuk menyeru agar rakyat Malaysia bersama memberikan sokongan dan sumbangan dalam membantu mereka yang berhadapan dengan masalah itu.

Gerakan kempen itu adalah hasil usaha bersama antara KAO Laurier Malaysia, Yayasan Perintis Malaysia (MyPerintis) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai langkah untuk merapatkan jurang kemiskinan haid dalam  kalangan mahasiswi yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

Timbalan Presiden KAO Laurier Malaysia, Tan Poh Ling berkata, pihaknya percaya rakyat Malaysia menganggap kemiskinan haid sebagai satu aspek keperluan kritikal dan ingin bersama memainkan peranan dalam mencari jalan  penyelesaian.

Menurutnya, kempen itu diilhamkan daripada falsafah gaya hidup Kirei, KAO Laurier dan misi utama adalah untuk menjadikan hidup ini lebih indah buat semua.

“Gaya hidup Kirei adalah berlandaskan belas kasihan, seperti yang dilihat daripada keprihatinan dan usaha kami menyantuni golongan B40 di universiti-universiti tempatan. Sebab itulah kami melakukan apa yang sepatutnya  dilakukan, dan bukan apa yang mudah untuk dilakukan.  

“Kami memanfaatkan daya inovasi dan imaginasi untuk memperkaya kehidupan insan di seluruh dunia agar mereka dapat  mengamalkan gaya hidup Kirei,” jelasnya.

Tambah Poh Ling, selain menyumbang untuk membantu memenuhi keperluan wanita muda daripada golongan B40 di institut pengajian tinggi, mereka juga berhasrat untuk menggiatkan perbincangan tentang kemiskinan haid sekaligus akan mendorong usaha untuk menyelesaikan isu tersebut di Malaysia.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan bersama kami dalam inisiatif ini. Mereka boleh turut serta dengan membeli tuala wanita  setiap bulan dan pada masa yang sama membantu gadis muda Malaysia daripada golongan B40,” ulasnya.

Dalam pada itu, pihak KPT menegaskan kemiskinan haid perlu ditangani dalam usaha meringankan beban sosioekonomi gadis dan wanita yang memerlukan.

“Kerjasama awam-swasta antara KAO Laurier Malaysia, MyPerintis dan KPT menunjukkan bahawa semua pihak boleh memainkan peranan untuk menangani cabaran yang timbul akibat kemiskinan haid. 

“Walaupun usaha menyelesaikan isu berbilang aspek ini akan mengambil masa yang panjang, kami percaya menerusi kerjasama erat, kita mampu mencapai penyelesaian yang mampan,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Sahira, 29 yang bertugas sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran di Kuala Lumpur, dia amat khuatir tentang isu kemiskinan haid yang hangat diperkatakan terutamanya di media sosial.

Namun baginya, dia tetap percaya bahawa masih ramai yang tidak sedar tentang situasi malang itu, di mana masih ada anak-anak gadis yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan produk penjagaan wanita yang bersih dan selamat disebabkan kekangan kewangan.

“Kepada semua gadis yang mengalami masalah ini, ketahuilah bahawa anda masih boleh mendapatkan bantuan daripada insan lain.

“Di Malaysia, ada banyak pihak yang sedia membantu. Misalnya gerakan kempen ini yang bertekad melaksanakan inisiatif membantu mereka yang berhadapan dengan masalah ini. Sedarlah bahawa anda tidak keseorangan,” jelasnya.

KET percaya menjadi tanggungjawab bersama rakyat Malaysia untuk membantu mereka yang berhadapan dengan masalah kemiskinan haid.

Dalam pada itu, bagi seorang lelaki yang dikenali sebagai Ket, dia ternyata agak terkejut apabila mendapat tahun masih ada wanita yang kesempitan wang sehingga tidak mampu untuk membeli tuala wanita.

“Melalui kempen ini barus saya sedar ada yang terpaksa menggunakan alternatif seperti kain untuk menyelesaikan masalah ini. 

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari penyelesaian bagi membantu mereka. Rakyat Malaysia, termasuklah saya  sendiri, sentiasa bersedia membantu. Justeru, mereka yang memerlukan tidak harus segan untuk meminta bantuan,” jelasnya.

Sementara itu, duta jenama Laurier Night Safe, Sweet Qismina berkata, sebagai wanita muda, saya sedih melihat ada gadis di  Malaysia yang tidak dapat menjalankan rutin harian dan menikmati kehidupan sepenuhnya semata-mata kerana tidak mampu  membeli barangan keperluan kebersihan wanita. 

“Namun begitu, saya gembira kerana kita sebagai rakyat Malaysia boleh memainkan peranan aktif membantu menangani masalah  kemiskinan haid dengan cara yang bermakna. 

“Bak kata pepatah, ‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Apabila kita bersama-sama memberi sumbangan kecil ia akan memberi makna yang besar kepada mereka yang berhadapan dengan masalah ini,” jelasnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI