PETALING JAYA – Memiliki zuriat sendiri merupakan impian setiap pasangan suami isteri di dunia ini.
Sentiasa memohon agar impiannya dimakbulkan Tuhan, pelakon terkenal, Siti Elizad Sharifuddin tidak pernah berhenti daripada terus berdoa untuk memiliki cahaya mata sendiri satu hari nanti.
Dia yang juga penyampai radio Sinar FM itu hari ini sekali lagi mengundang sebak ramai apabila menitipkan ucapan ulang tahun perkahwinan kelapan buat suami tercinta, Shamsul Baharin Rahman.
“Selamat ulang tahun perkahwinan kelapan sayangku. Saya tiada ucapan panjang untuk awak sebab setiap kali ulang tahun perkahwinan pasti saya akan cakap ‘insya-Allah tahun depan pasti kita bertiga.’
“Rasa-rasanya sudah boleh tukar dialog itu, sudah lapan tahun menanti,” tulisnya dalam satu hantaran Instagram.
Tidak pernah menyalahkan takdir, pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu percaya Allah SWT telah menyusun aturan hidupnya dengan baik.
“Percaturan Allah itu lebih baik. Reda dan pasrah.
“Selamat hari ulang tahun perkahwinan, berbulan madu selama-lamanya. Hanya kita berdua, doakan kami ya semua,” katanya lagi.
Sebelum ini, pemilik nama penuh Siti Elizad Mohd Sharifuddin itu pernah meluahkan rasa kecewa dalam media sosial apabila terdapat segelintir netizen yang menuduhnya sebagai wanita mandul kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Untuk rekod, Elizad pernah disahkan hamil sekitar Oktober 2020 namun mengalami kegugurqn beberapa minggu selepas itu.
Terdahulu, dia juga pernah berkongsi momen menjalani proses rawatan kesuburan In-vitro fertilisation (IVF) pada sejak Oktober 2020 untuk mendapatkan cahaya mata.
Untuk rekod, Elizad dan Shamsul mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015. – K! ONLINE