TURIN – Juventus mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk melakar kemenangan 4-3 ke atas seteru, AS Roma pada aksi Serie A yang berlangsung penuh dramatik awal pagi semalam.
Meskipun beraksi tanpa kehadiran pengendali, Massimiliano Allegri yang digantung perlawanan, ia tidak menjejaskan semangat pasukan untuk meraih gol hasil ledakan Paulo Dybala, Manuel Locatelli, Dejan Kulusevski dan Mattia De Sciglio.
Penolong jurulatih Juventus, Marco Landucci mengakui apa yang dipamerkan oleh pasukannya cukup sempurna meskipun diarahkan beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Matthijs De Ligt dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.
“Saya tidak tahu bagaimana mahu gambarkan perasaan kerana mengharungi perlawanan yang cukup luar biasa. Gol kedua jaringan Locatelli ketika pasukan ketinggalan 1-3 menghidupkan kembali peluang kami untuk mengutip tiga mata berharga.
“Bagaimanapun, nasib tidak memihak buat pasukan apabila De Ligt dilayangkan kad merah dengan Roma dihadiahkan sepakan penalti.
“Terima kasih saya ucapkan kepada penjaga gol kami, Wojciech Szczesny yang berjaya menyelamatkan tendangan penalti tersebut tetapi pujian wajar diberikan kepada semua pemain,” katanya.
Sementara itu, Szczesny mengakui tuah memihak kepadanya apabila berjaya membaca sepakan yang dilakukan oleh pemain tengah Roma, Lorenzo Pellegrini pada penghujung perlawanan untuk memastikan kemenangan milik Juventus.
“Saya tidak sangka dapat menyelamatkan sepakan penalti kerana rekod saya agak tidak baik sebelum ini, namun nasib saya sedikit baik dan berjaya membantu pasukan melakar kemenangan penting,” katanya. – AGENSI