fbpx

Jumlah penganggur berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penangguhan aktiviti perjalanan bagi ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari 2022 antara faktor yang memberi cabaran kepada fasa pemulihan pasaran buruh. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bilangan penganggur di Malaysia berkurangan kepada bawah paras 700,000 orang buat pertama kali sejak April 2020, menurut Statistik Tenaga Buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam.

Kadar pengangguran November 2021 direkodkan pada 4.3 pera­tus melibatkan 694,400 penganggur, berbanding 705,000 orang Oktober lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh pada November kekal stabil dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan penurunan dalam bilangan penganggur.

Jelasnya, ia berikutan pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial yang merangsang kesan positif terhadap pasaran buruh, manakala kadar vaksinasi lengkap keseluruhan terus meningkat sementara bilangan kes harian Covid-19 semakin berkurang.

“Situasi menggalakkan ini juga telah mendorong kepada lebih banyak aktiviti perjalanan dalam dan luar negara pada bulan tersebut, yang selanjutnya turut mempengaruhi pasaran buruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Uzir, jumlah penduduk bekerja pula terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut dengan November 2021 merekodkan peningkatan 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 15.61 juta orang (Oktober 2021: 15.55 juta orang).

Sementara kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 68.9 peratus (Oktober 2021: 68.8 peratus) dengan bilangan tenaga buruh bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 16.3 juta.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kedudukan tenaga buruh Malaysia meningkat secara beransur-ansur sejak Ogos 2021 berikutan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial telah beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

“Pengoperasian aktiviti ekonomi secara berterusan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pencari kerja yang seterusnya bakal mengukuhkan pasaran buruh pada bulan-bulan yang akan datang.

“Pada masa sama, bencana banjir yang melanda kawasan tengah dan Pantai Timur Semenanjung baru-baru ini dilihat le­bih menjejaskan kawasan setempat dan dijangka tidak memberi impak yang ketara kepada ke­seluruhan pasaran buruh negara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI