PUTRAJAYA – Penggunaan aplikasi sistem Forest Monitoring Using Remote System (FMRS) termasuk dron akan terus diperkasakan bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara waktu sebenar.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penggunaan FMRS membantu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk terus mengenal pasti dan memantau kawasan berisiko tinggi berdepan insiden lambakan kayu hanyut, gelinciran tanah dan kejadian kepala air.
Katanya, pihak JPSM sudah diarahkan bekerjasama dengan semua Pengarah Perhutanan Negeri supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi di seluruh semenanjung Malaysia.
“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.
“Selain itu, JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Disember 2021 yang dipengerusikan Perdana Menteri telah mengambil pendirian yang tegas berhubung dua perkara penting berkenaan kelestarian sumber asli negara.- K! ONLINE