PETALING JAYA – Amaran ribut petir dan hujan lebat dikeluarkan bagi negeri Sarawak malam ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca buruk itu melibatkan kawasan Kapit (Bukit Mabong dan Belaga).
Jelasnya, keadaan tersebut dijangka berterusan sehingga pukul 11 malam nanti.
Terbaharu, hujan lebat berterusan sejak pagi sehingga awal petang tadi menyebabkan berlakunya limpahan air hujan dari kawasan bukit menuju ke Kampung Sejingkat di Kuching.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak memaklumkan, beberapa anggota dan pegawai telah ditugaskan memantau keadaan di sekitar kampung tersebut sebagai langkah persediaan menghadapi risiko yang lebih teruk.
“Keadaan yang berlaku telah menyebabkan beberapa buah rumah di Kampung Sejingkat dimasuki air.
“Walaubagaimanapun, tiada mangsa yang dilaporkan terjejas dan dipindahkan,” katanya. – K! ONLINE