KUALA LUMPUR – Empat peniaga dikenakan kompaun serta lesen perniagaan ditarik kerana menjalankan aktiviti penyembelihan ayam dalam premis di Pasar Harian Taman Desa Jaya, Kepong pada Khamis lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Ahmad Fauzi Ishak berkata, kesemua peniaga itu menjalankan aktiviti penyembelihan ayam di premis sehingga menyebabkan bau busuk di kawasan tersebut.
“Peniaga terbabit akan membuang sisa-sisa seperti bulu, darah dan organ ayam di dalam longkang bahagian belakang premis sehingga menyebabkan bau busuk dan kotor.
“Tindakan itu juga melanggar syarat lesen yang mana peniaga dibenarkan menjual ayam yang telah siap diproses sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, kesemua lesen peniaga telah ditarik selain dikenakan kompaun berjumlah RM500 dibawah Seksyen 19 1(d) Akta UUK Establisymen Pelesenan Makanan MPS 2007.
Dalam pada itu, Fauzi juga berkata MPS sedang giat mengesan seorang individu yang melakukan pembuangan sampah haram dan pembakaran terbuka di Taman Raintree, Batu Caves.
“Hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kelmarin menunjukkan seorang individu membuang sampah haram dan juga melakukan pembakaran terbuka hingga menjejaskan alam sekitar.
“MPS akan mencari individu terbabit dan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Akta UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007,” tegasnya. – K! ONLINE