JOHOR BAHRU – Ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan cuaca cerah di seluruh negeri Johor sehingga tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, perkembangan positif itu menandakan situasi banjir di beberapa daerah semakin pulih.
Bagaimanapun, beliau memberitahu masih terdapat satu sungai yang menunjukkan paras bacaan air sungai bahaya iaitu Sungai Muar di Bukit Kepong.
“Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus berkurangan apabila seramai 2,298 mangsa masih ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir pada pukul 8 pagi, hari ini.
“Jumlah tersebut merupakan penurunan sebanyak 637 mangsa berbanding seramai 2,935 mangsa yang direkodkan petang semalam,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Vidyananthan berkata, Muar telah menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 873 mangsa ditempatkan di 10 buah PPS yang dibuka, diikuti Segamat dengan 734 mangsa di 15 buah PPS.-K! ONLINE