PETALING JAYA – Hampir keseluruhan kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak menunjukkan keadaan cuaca cerah pagi ini dan dijangka berterusan sepanjang hari.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di laman Facebooknya berkata, hujan lebat dan angin kencang hanya berlaku di Sandakan, Sabah dan beberapa kawasan di sekitar tengah serta barat Sarawak dan dijangka berterusan sehingga lewat pagi nanti.
“Tinjauan cuaca disebelah petang pula, MetMalaysia meramalkan keadaan hujan lebat serta ribut petir bakal tertumpu di kawasan pedalaman negeri Perak dan Selangor yang akan berlanjutan sehingga malam.
“Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada kekal diberikan bagi negeri Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau),” katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, amaran tersebut berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 13 Januari 2022.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan aktiviti air ketika ini. – K! ONLINE