PUTRAJAYA – Sebanyak lapan kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir hari ini, dengan jumlah kumulatif sebanyak 2,442 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lapan kes tersebut, sebanyak empat kes jangkitan saluran pernafasan akut, dua kes penyakit kulit dan dua kes acute gastroenteritis.
“Dalam masa sama, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir kekal 470 kes susulan tiada kes baharu hari ini serta tiada kes baharu dicatatkan di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dan jumlah itu kekal 15 kes.
“Selain itu, tiada pertambahan kluster baharu di PPS sekali gus kekal dengan satu kluster,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 38 PPS masih beroperasi di Johor (34), Pahang (1) dan Melaka (3) dengan angka keseluruhan mangsa terjejas banjir seramai 2,287 orang. -K!ONLINE