MELAKA – Sepasang kekasih antara tujuh individu diberkas selepas dipercayai menjalankan sindiket keldai akaun dengan memperdayakan golongan ‘terdesak’ menyerahkan kad ATM, minggu lalu.
Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun diberkas dalam empat serbuan berasingan di Alor Gajah serta Selangor pada 4 dan 5 Januari lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan selepas seorang mangsa yang merupakan tukang kebun membuat loporan polis pada 3 Januari lalu.
Katanya, menurut laporan dibuat mangsa, ahli sindiket itu telah menawarkan peluang pekerjaan kepadanya dan meminta menyerahkan kad ATM untuk memperoleh upah sebanyak RM300.
“Suspek yang merupakan pasangan kekasih berusia 21 dan 30 tahun dipercayai telah memperdayakan seorang tukang kebun berusia 30 tahun dengan menyuruhnya menyerahkan kad ATM beserta nombor pin pada 21 November lalu.
“Pengadu kemudian menyerahkan dua keping kad ATM miliknya sebelum diberikan upah 300 bagi setiap kad,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini. – K! ONLINE