PUTRAJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis panel berkepakaran (POE) bakal merungkai kemelut isu hartanah negara.
Pelantikan 25 anggota tersebut juga disaring teliti oleh jawatankuasa di kementerian itu bagi memberi input penyelesaian pelbagai masalah dialami sektor hartanah sejak sekian lama.
“Saya yakin POE seumpama badan pemikir yang mungkin kementerian ada terlepas pandang beberapa isu agar model pembangunan hartanah ditambah baik lagi selepas ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pada sidang akhbar selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 ahli POE yang turut dihadiri oleh timbalannya, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib.
Panel itu disertai antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dilantik sebagai Pengerusi Ganti.
Ia turut dianggotai tokoh korporat terkenal iaitu Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar selain bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Zamani Abdul Ghani. – K! ONLINE