BRUSSELS, Belgium – Perkhidmatan pemantauan iklim Kesatuan Eropah (EU) mendedahkan bahawa suhu global paling panas direkodkan sejak tujuh tahun lalu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Keadaan iklim melampau telah menjadi fenomena biasa disebabkan pemanasan global dengan lonjakan besar kepekatan gas metana dikesan dalam atmosfera.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S) dalam penilaian terbarunya menyatakan, 2021 adalah tahun kelima paling panas dalam rekod global dan lebih panas berbanding tahun 2015 dan 2018.
Situasi itu membawa kepada kebakaran hutan paling buruk di Australia dan Siberia, gelombang haba ‘sekali dalam 1000 tahun’ di rantau Amerika Utara dan banjir besar yang melanda Asia, Afrika, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
“2021 merupakan satu lagi tahun yang menyaksikan suhu ekstrem dengan musim panas paling panas melanda Eropah, gelombang haba di Mediterranean serta suhu tinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini di rantau Amerika Utara,” kata Pengarah C3S, Carlo Buontempo.
“Situasi ini menjadi peringatan jelas tentang keperluan untuk mengubah cara kita, mengambil langkah tegas dan berkesan ke arah masyarakat yang mapan dan berusaha mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.
Menurutnya, gas metana telah meningkat ‘sangat ketara’ dan menyumbang kepada pemanasan global sama seperti karbon dioksida. – Agensi